Berbasikal merupakan sejenis senaman yang memberikan impak rendah. Namun begitu, mana-mana aktiviti fizikal pun, jika dilakukan terlalu kerap, ia boleh mengakibatkan kecederaan. Ini termasuklah sukan berbasikal. Menurut penggemar aktiviti berbasikal ini, masalah yang sering dialami adalah seperti sakit belakang, lenguh lengan dan bahu, lutut tak selesa serta sindrom carpal tunnel. Kecederaan yang selalu dialami oleh pelumba adalah di mana patella (kepala lutut) telah lari alignment dari lokasi asalnya di tulang femur (paha).
Jadi selain memakai topi keledar, apa yang perlu kita buat untuk menyediakan badan kita supaya kecederaan dapat dielakkan?
Langkah-langkah Persediaan Sebelum Melakukan Aktiviti Berbasikal
Pilih basikal yang sesuai
Aktiviti berbasikal melibatkan perbuatan yang berulang. Jika ia tak dilakukan dengan betul, lepas itu ia diulang-ulang pula, lambat-laun gerenti ia akan mengakibatkan ketidakselesaan atau kecederaan. Itu sebabnya anda perlu cari basikal yang sempurna untuk tubuh badan anda.
Adjust pada bahagian basikal yang paling biasa dibuat adalah terhadap ketinggian tempat duduk dan posisi pemegang basikal. Ketinggian tempat duduk adalah penting bagi tahap kecekapan dan kuasa; jika kaki pelumba tidak dilunjur sepenuhnya, daya mampatan yang kuat boleh terjadi kepada hamstring. Sakit di bahagian bawah belakang pelumba pula selalu dikaitkan dengan posisi handlebar basikal yang terlalu rendah atau jauh. Pelarasan sekecil mana sekalipun terhadap basikal seseorang pelumba memang boleh berikan impak kepada prestasinya.
Pastikan badan anda cukup nutrisi dan tenaga
Hydration memang penting, sebarang kepenatan yang anda alami boleh mengurangkan prestasi berbasikal anda dan secara tak langsung, badan anda adalah lebih terdedah kepada trauma. Selain itu, nutrisi yang baik juga boleh membantu mengurangkan risiko kecederaan. Makan makanan dan minuman yang membekalkan tenaga supaya badan anda cukup kuat untuk melindungi otot dan tulang.
Lakukan senaman regangan terlebih dahulu
Ada yang berkata stretching adalah penting dan perlu dilakukan sebelum dan selepas berbasikal. Orang lain pula kata tak ada gunanya pun. Sebenarnya ia terpulang kepada individu, tapi stretching yang betul memang boleh mengelakkan kedua-dua kesakitan masa kini dan kecederaan masa depan.
Mula dengan cabaran yang mudah terlebih dahulu
Seseorang itu perlu membuat dan mengikuti jadual latihan dengan betul. Seelok-eloknya biasakan diri dulu dengan aktiviti ini dan cabarannya. Mahirkan diri dalam kepantasan kayuhan dahulu sebelum kuasa; mula mengayuh di kawasan rata dahulu sebelum anda cuba tawan kawasan berbukit.
Kesimpulan
Untuk meningkatkan lagi daya ketahanan anda supaya anda boleh berbasikal dengan baik, anda disarankan untuk cuba lakukan senaman yoga atau pilates. Kedua-dua aktiviti ini dikatakan boleh membina kekuatan dalaman dan stamina untuk melindungi bahagian belakang anda serta memberikan lebih banyak kuasa kepada kaki anda. Tapi jika anda mendapati yang anda telah cedera selepas sesuatu sesi berbasikal, rujuk kepada doktor atau ahli fisioterapi.