Sukan basikal merupakan sukan pertama yang diperkenalkan di acara Olimpik pada tahun 1896. Terkini aktiviti berbasikal telah menjadi fenomena baru di kalangan rakyat Malaysia mahupun di luar negara. Walaupun harga basikal mencecah ribuan ringgit dan mahal disebabkan faktor jenama basikal, jenis basikal dan alat keperluan berbasikal, namun banyak manfaat yang boleh diperolehi melalui aktiviti sukan ini. Terdapat pelbagai kategori basikal yang perlu diketahui sebelum membeli basikal, namun ia bergantung kepada keselesaan pembeli untuk membawa basikal sama ada di atas jalan raya mahupun di kawasan berbukit atau cerun.
Antara kategori basikal tersebut adalah basikal jenis off road, basikal jenis on road,basikal trek, basikal downhill dan basikal ulang – alik (dari rumah ke tempat kerja dan sebaliknya). Basikal jenis off road atau dikenali sebagai basikal gunung ini sesuai untuk laluan di kawasan hutan dan pergunungan manakala basikal jenis on road pula sesuai di atas jalan raya dengan roda yang nipis seolah-olah seperti basikal lumba. Selain itu, basikal trek merupakan basikal yang dimainkan di trek perlumbaan basikal atau dikenali sebagai velodrome dan basikal downhill pula akan dimainkan di kawasan yang terdapat pelbagai halangan seperti menuruni cerun, tangga serta melalui kawasan yang berbukit dan berbatu.
Jenis basikal ulang -alik adalah merupakan basikal harian yang digunakan khas sebagai pengangkutan ke tempat kerja. Pelbagai trend aktiviti berbasikal pada masa kini seperti berbasikal bagi program amal, berbasikal untuk bersiar-siar mahupun keseronokan, berbasikal dalam berkumpulan dan berbasikal secara perseorangan. Segala aktiviti berbasikal akan berkongsi jalan yang sama dengan pengguna jalan raya yang lain. Justeru penunggang basikal perlu mengetahui etika berbasikal di samping mematuhi undang undang jalan raya yang telah ditetapkan.
Faedah Kesihatan
Mengurangkan risiko penyakit
Berbasikal amat baik untuk kesihatan jantung. Ketika berbasikal pengaliran darah ke jantung akan meningkat. Peningkatan aliran darah membuatkan jantung memiliki oksigen yang mencukupi dan membantunya untuk berdegup dengan lebih baik. Keadaan ini secara tidak langsung akan mengurangkan risiko serangan jantung sehingga 50%. Tidak ketinggalan mengurangkan risiko penyakit tekanan darah tinggi dan diabetes.
Berbasikal di persekitaran terbuka membuatkan individu terdedah kepada cahaya matahari. Sinaran matahari kaya dengan vitamin D yang bagus untuk kesihatan hingga mampu mencegah penyakit osteoporosis, kanser payu dara dan kanser prostat. Selain itu, senaman ini turut mampu menguatkan sistem imun tubuh. Malah masalah insomnia juga dapat diatasi menerusi senaman berbasikal kerana ia mampu meningkatkan kualiti tidur individu.
Merawat artritis
Berbanding senaman lain, berbasikal tidak memberikan tekanan kepada sendi atau tulang rawan. Sebaliknya ia membantu menyihatkan otot dan sendi pada kaki dengan gerakannya yang berupaya untuk menguatkan tulang rawan. Keupayaan ini secara tidak langsung dapat membantu merawat dan mengurangkan risiko serangan arthritis dan pembengkakan sendi.
3) Memperbaiki mood
Seperti senaman lain, berbasikal akan mengeluarkan hormon endorphin sekali gus mengusir keluar segala perasaan negatif terutama stress yang ada dalam diri. Perembesan keluar endorphin bukan hanya memperbaiki mood dan mengawal keseimbangan hormon individu bahkan menjadikan mereka lebih positif dalam menjalani kehidupan.
Menurunkan kadar kolesterol
Melibatkan pergerakan otot-otot paha, lengan dan pinggul membuatkan aktiviti berbasikal efektif dalam menurunkan kadar kolesterol yang terdapat dalam tubuh. Hanya dengan melakukan senaman berbasikal sebanyak 3 kali seminggu dan satu jam bagi setiap sesi, paras kolesterol yang tinggi akan berada di tahap sepatutnya.
Menguatkan tulang
Berbasikal secara rutin membantu menguatkan tulang di bahagian atas anggota badan dan tulang belakang. Justeru, risiko untuk mengalami patah atau kecederaan tulang yang lain akan berkurangan. Malah kajian juga menunjukkan bahawa individu yang aktif berbasikal jarang mengalami patah tulang pinggul apabila tua.Selain itu berbasikal juga berupaya menguatkan tulang kaki dan merupakan mobiliti terbaik untuk pinggul dan sendi lutut. Kanak-kanak yang sedang mengalami proses tumbesaran amat digalakkan untuk melakukan senaman yang melibatkan kaki kerana ia bukan hanya mampu menguatkan kaki malah turut juga berupaya menjadikan mereka lebih tinggi.
Merehatkan minda
Aktiviti ini juga berkesan dalam merehatkan minda terutama jika kita berbasikal pada awal pagi atau lewat malam. Hembusan udara yang segar pada kedua-dua waktu ini mampu menenangkan fikiran sekali gus mengusir stress yang sedang dialami. Dalam masa yang sama ia turut meningkatkan kepekaan dan daya konsentrasi individu.
Berbasikal juga adalah salah satu aktiviti yang anda boleh lakukan jika anda tidak rajin melakukan aktiviti jogging. Dapat hindarkan diri daripada penyakit berbahaya juga. Selamat beramal